Sunday, June 29, 2008

Spekulasi Serangan & Kesan Kenaikan Harga Minyak

TEHERAN 28 Jun - Iran akan mengenakan kawalan ke atas laluan penting minyak di Teluk Parsi dan Selat Hormuz jika negara ini diserang kerana meneruskan program nuklearnya.Negara serantau juga akan mengalami tindakan balas jika mereka menyertai sebarang serangan ke atas Iran, lapor sebuah akhbar hari ini dengan memetik kenyataan Ketua Panglima Pengawal Revolusi. Kebimbangan maraknya konfrontasi antara Barat dengan Iran, pengeluar minyak keempat terbesar di dunia, berpunca daripada program nuklearnya adalah antara faktor yang menyebabkan harga minyak dunia melonjak. Minyak mentah mencecah paras tertinggi menghampiri AS$143 (RM463) setong di pasaran antarabangsa semalam.

Spekulasi mengenai serangan ke atas Iran bertambah hangat sejak timbul laporan bulan ini bahawa Israel menjalankan latihan untuk melancarkan serangan sedemikian. "Setiap negara yang diserang oleh musuh tentunya akan menggunakan segala keupayaan dan kesempatan untuk memerangi musuh itu," kata Ketua Panglima Pengawal Revolusi, Mohammad Ali Jafari kepada akhbar Jam-e Jam. Kenyataan beliau itu adalah antara yang paling keras dikeluarkan oleh Iran setakat ini. "Mengenai laluan utama untuk membawa keluar bekalan tenaga, Iran sudah tentu akan bertindak untuk mengawal Teluk Parsi dan Selat Hormuz," katanya.

Selat Hormuz ialah laluan sempit di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman dan merupakan satu-satunya saluran keluar ke laut lepas bagi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan minyak yang didagangkan di pasaran dunia. Pegawai Iran sebelum ini memberi isyarat bercampur-campur sama ada Teheran akan menggunakan minyak sebagai senjata. Namun ugutan sedemikian meresahkan seluruh pasaran minyak mentah kerana kebimbangan akan terjejasnya bekalan daripada pengeluar utama Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) di Teluk. "Jika konfrontasi meletus antara kami dengan musuh di luar rantau ini, skop konfrontasi sudah pasti melibatkan minyak,'' katanya.
- Reuters

Sunday, June 22, 2008

Bahasa Akal & Bahasa Hati

“Harry, open the door!”
“Harry, can you please open the door!”
Dua ungkapan dengan maksud yang sama, tetapi menghasilkan kesan yang berbeza.

Semasa saya kecil, Sesame Street adalah salah sebuah rancangan televisyen yang amat saya minati. Salah satu episod yang masih segar di ingatan saya ialah “The Magic Word“. “The Magic Word” bertujuan mengajar kanak-kanak supaya menggunakan perkataan-perkataan yang sopan terutamanya apabila meminta pertolongan. Perkataan please, kindly dan yang seumpama dengannya adalah “The Magic Word” yang dimaksudkan.

AKAL DAN HATI
Saya sentiasa berhati-hati agar jangan perkataan saya menyinggung sesiapa. Maka saya juga mengharapkan yang sama dari orang lain. Ia adalah fitrah manusia. Allah mencipta manusia dengan akal dan hati, yang saling berbeza tabiat dalam memberikan reaksi kepada perkataan. Akal memproses logik. Hati memproses emosi. Akal dan logik menghasilkan tahu. Hati dan emosi mencetuskan mahu. Apabila kita meminta sesuatu dari orang lain dengan menyebut “Ali, buka pintu tu”, ia adalah arahan kepada akal. Apabila akal memahami arahan tersebut, ia akan memberikan kefahaman tentang reaksi dan tindakan yang sepatutnya diambil terhadap arahan itu. Tetapi arahan yang hanya mempedulikan akal, walaupun boleh difahami, ia mungkin tidak mencetus mahu. Arahan itu tidak mengambil kira soal hati. Sedangkan kemahuan datang dari hati. Bagaimana kalau ayat yang sama diungkap dengan cara yang lebih sopan, seperti “Ali, tolong bukakan pintu tu. Terima kasih!” Bagaimanakah perasaan dan kesediaan kita untuk bekerjasama dengan permintaan yang sedemikian rupa, berbanding arahan pertama? Saya yakin, kita lebih bersungguh dan berkemahuan untuk memenuhi permintaan itu kerana perkataan “buka pintu” memberitahu akal, manakala perkataan “tolong” dan “terima kasih” menggerakkan hati. Tidak bolehkah peraturan semudah ini kita amalkan dalam hidup?

LUQMAN DAN BAHASA KASIH SAYANGNYA
Lihat sahaja bagaimana Luqman menasihati anaknya. Beliau mulakan ungkapan nasihat itu dengan lafaz “Ya Bunayya“, yang boleh dimaksudkan sebagai “wahai anakku sayang”. Ia adalah lafaz akal dan hati. Luqman tidak bersikap angkuh terhadap anaknya atas status dirinya sebagai bapa. Malah kuasa kasih sayang dan bahasa yang mengungkapkannya, menjadikan nasihat itu lebih berkesan dan penuh hikmah. Manusia tidak bertindak berdasarkan apa yang dia tahu (akal), tetapi manusia bertindak berdasarkan apa yang dia mahu (hati). Jangan lupa yang itu. Jangan hanya mengeluarkan arahan, tetapi manfaatkan fitrah manusia yang ada perasaan.
BAHASA TERHAKIS
Saya semakin merasakan betapa generasi hari ini semakin tidak mempedulikan bahasa. Tidak pandai berbahasa. Tidak bijak menutur kata. Saya tidaklah mengharapkan bahasa bangsawan atau sastera. Tetapi cukup dengan bahasa “The Magic Word” yang sudah begitu sebati dengan adat resam dan budaya kita. Lihat sahaja pada mesej-mesej di shoutbox dan komen. Saya tidak bermaksud mahu memperlekeh sesiapa, tetapi saya tidak enak membaca tulisan yang tidak manusiawi. Tidak cerdik berkata-kata. Apakah kerana generasi muda hari ini semakin banyak berhubung di alam virtual, maka mereka menjadi tuli terhadap nilai-nilai kemanusiaan pada bahasa dan perhubungan? Sengaja saya cetuskan Sesama Street sebagai muqaddimah kisah ini kerana saya ingin menunjukkan kepada pembaca betapa masyarakat Barat, masih ramai yang particular dan mengambil berat tentang hal ini. Mereka mengajar anak-anak mereka berbudi bahasa. Bagaimana dengan kita yang Muslim ini? Islam yang mengajar kita bahawa muka dan bahasa yang manis itu adalah suatu kebajikan. Bagaimana dengan Melayu yang suka dikenali sebagai bangsa yang berbudi bahasa?
Sudikah kalian memikirkannya? Terima kasih.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Saturday, June 21, 2008

Antara 100 Hari Dan Janji Manifesto

oleh : pencuit minda
8 Mac yang lepas merupakan tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh ramai daripada kita. Pilihanraya yang menyaksikan Pakatan Rakyat menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional buat kali pertama semenjak kemerdekaan membawa sejarah tersendiri. Buat satu Pakatan yang dikatakan masih rapuh, namun mempunyai banyak prinsip perjuangan yang dikongsi bersama, ianya cukup bermakna.

Walaupun tidak mengeluarkan manifesto bersama, samada di peringkat negeri dan nasional, Pakatan ini berjaya mencuit hati rakyat untuk berpihak kepada mereka. Bukan setakat kebencian yang bermain di fikiran untuk mereka berani membuat perubahan ini, bahkan harapan yang begitu besar disandarkan demi melihat kehidupan yang lebih baik, keadilan dan ketelusan yang menguntungkan lebih ramai penduduk.

Maka sudah tentunya rakyat yang begitu sekali membuka ruang untuk perubahan ini memberi seluas luas peluang untuk kerajaan baru Pakatan Rakyat melaksanakan program dan tindakan yang sewajarnya. Mereka amat menyedari betapa tekanan dan kekangan yang ada tidak memungkinkan segalanya lancar dan manis dirasai apabila pemimpin Pakatan Rakyat mengambilalih tampok pemerintahan dan perntadbiran. Bahkan sebaliknya. Dengan karenah yang pelbagai, dengan fail dan dokumen yang hilang entah ke mana, pastinya jalan yang sukar menanti.

Fenomena semasa juga tidak memberi kelebihan kepada pentadbiran kerajaan baru ini. Kenaikan harga minyak diikuti kesannya tentunya membawa lebih banyak kesukaran berbanding kesenangan. Pastinya ia mencabar kehebatan siapa sahaja hatta seorang pengurus yang terbukti hebat sebelumnya.

Sebenarnya tekanan untuk melaksanakan manifesto datangnya dari pemimpin dan penyokong totok UMNO yang tidak senang duduk dan masih tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka. Setiap inci kesalahan dicari, perangkap menanti dan lubang digali untuk menjerumuskan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, biarkan mereka yang gila dan tamak kuasa itu dengan kegilaan mereka. Mereka akan tersedar bilamana kepala mereka tiba tiba terhantuk dan akhirnya sedar dari lamunan kuasa yang semakin meninggalkan mereka. Mungkin esok dan lusa bakal ditemui jawapannya! Allahu aa'lamu bi muradih..[pencuit minda]

Tuesday, June 17, 2008

Selamat Hari Ayah

Bapa, ayah, abah, itulah panggilan keramat anak kepada lelaki yang mempunyai anak. Kehebatan ayah tiadalah tandingannya...walau macam mana tak bestnyer ayah pada pandangan anak...mungkin sbb garangnya dan sebagai..ayah tetap ayah ...dia tetap no 1..first class gitu..Ayah aku jarang menunjukkan secara zahir sayangnya pada anak. Hakikatnya ayah amat sayang pada anak-anak. Kebanyakkan ayah tak banyak cakap, macam ayah aku jugak..especially lagi setengah jam azan akan berkumandang ..ayah aku secara automatik (maksudnye biasa la tu) ayah aku akan masuk ke bilik untuk berwudhu' ..anak mcm aku jadi malu alah..sbb ayah aku dah mula mempersiapkan diri untuk ke musolla...aku plak terkulat segan..apa lagi..memaksa diri utk follow walau ayah tak pernah pun mengajak kami secara lisan..itu maknanya ayah ajar anak-anak dengan cara perbuatan dan gerak geri. Ayah banyak guna bahasa badan, sehingga anak membuat telahan sendiri. Anak-anak kalau bercakap dengan ayah agak berhati-hati. Itulah realiti kebanyakan lelaki yang bergelar ayah! Walau pun ayah aku nampak "renyeh"..sebagai anak aku dah dapat agak...apa yg dia nak maksudkan. Sempena Hari Bapa, tak ada apa yang dapat aku hadiahkan pada ayah dan apa yang aku mampu lakukan adalah moga dapat beraksi dipentas kehidupan dengan aksi-aksi yang tidak mengecewakan ayah dan emak.

Saturday, June 14, 2008

PENANTIAN DAN PENCARIAN


Buat Ayah Bonda yang kurindu. Doa dan harapanku agar dikau dikalungi hidayah dan rahmat-Nya. Ayah Bonda..!! Di hari-hariku nan sepi ini. Air mata menemani langkahku Tatkala terbayang seraut wajah yang lama tidak kulihat. Dan tatkala rinduku menggunung padamu aku terseksa. Ayah Bonda..!! Aku tak bisa membohongi diriku sendiri. Ketahuilah oleh Ayah Bonda, aku anandamu yg tak tega menempuhi gelombang hidup ini. Hatiku diburu resah yg berkepanjangan. Dikedewasaanku ini aku mulai mengerti apakah itu kasih sayang. Rindu derita yang selalu mendampingi hidupku. Bilakah ia akan terlerai dan menyimpul bahagia buat ku. Adakah aku tidak layak untuk mengecapi kebahagiaan itu. Maafkanlah aku buat yang kesekian kalinya jika ditakdirkan oleh Ilahi kita tidak pernah bertemu. Tolong carilah kami. Walau kutahu itu ungkapan kebodohan fikiranku. Tapi aku tidak peduli. Ya Allah berilah kami kesempatan masa untuk bertemu, masa untuk mengecap bahagia bersama Ayah Bondaku. Aku masih rindukan belaian manja mereka. Aku masih dambakan kasih sayang Ayah Bonda. Ayah Bonda..!! Jika kau hadir dalam hidupku tak mungkin aku melupai dirimu. Berilah aku kekuatan untuk menyayangi dirimu. sesungguhnya aku tidak mahu kehilangan dirimu untuk hari esok dan selamanya. Dibawah sinaran langit biru aku menjadi pengundang setia pada kenangan lalu yang mekar berpadu. Moga terus bersalju walau Ayah Bonda tiada disisiku. harapan nan satu moga kita dapat bertemu. Biarlah aku disini menyulam rindu dendam padamu yg tak pudar walau ditelan waktu.!!

Thursday, June 12, 2008

Untuk seorang Ali

"Siapakah dia yang berbaring di hujung malam dengan nafas yang berat dan mata yang sukar terpejam. Ia menatap jauh ke langit kelabu dan kepada gemintang yang berlumba ke peraduan. Angin malam membawa hatinya ke gubuk-gubuk kumuh. Tubuhnya gementar mengaduh, Mestikah orang-orang lapar itu mati perlahan-lahan, mestikah orang-orang telanjang itu berubah menjadi tulang belulang? Ia laksana ingin menghempaskan kepala tiran yang berpesta di tengah tangisan atau orang kaya yang membangun istana di atas tumpukan kerangka. Ia terkenang Nabi yang menepuk bahunya sambil berkata Tuhan telah menghiasmu dengan cinta setia kepada orang miskin dan teraniaya.”

Wednesday, June 11, 2008

Lantera Hidup


Sebagai seorang Islam yang mengaku beriman kepada Allah seharusnya menerima semua yang tidak disukai oleh diri sebagai ujian tuhan. Namun sejauh mana kita faham dan melihat ujian-ujian itu dari kehendak tuhan. Bagaimana kita dapat bersikap baik sangka kepada tuhan yang mendatangkan ujian dan kita benar-benar redha apa yang terjadi. Mampukah kita tersenyum dan tanpa rungutan,sejauh mana kita dapat bersabar sehingga masalah itu diganti dengan keamanan,kebahagian dan kembali diri dalam keadaan sukacita serta gembira.

Kita tahu akan makna “Dari tuhan ia datang,kepadanya jua ia kembali”dan kita tahu makna kalam “Tiada daya upaya melainkan izin Allah”.dan erti berserah diri,redha,sabar serta berusaha.Bagaimana kita mempraktik ajaran-ajaran tuhan ini dalam menghadapi apa ju masaalah. Amalan ini hanya mampu dilakukan kepada mereka yang yakin dengan janji Allah. Banyak janji-janji Allah dinyatakan kepada mereka yang sanggup sabar,baik sangka,redha,pasrah dan tidak putus asa dalam berharap pertolongan Allah.

Sememangnya masalah itu terjadi dengan asbab.Asbab diri sendiri atau pun kerana orang lain.Kedua-duanya tidak perlu dipertikaikan dan dipersoalkan.Tidak ada kata-kata hairan kenapa dan mengapa dan apakah serta bila. Kita jangan merasakan bilamana amalan kita telah baik dan berusaha mendekati tuhan,maka terkecualilah kita dari ujian-ujian.Sesungguhnya ujian-ujian itu adalah tangga kepada kita untuk naik kehadratnya.Semakin banyak ujian yang berjaya ditempuhi dengan sifat-sifat terpuji maka semakin hampir kita kepadaNya.

Sehinggalah kita tidak memilih tentang apa ujian yang datang semuanya adalah sama. Kerana setiap ujian itu telah Allah pilih mengikut kemampuan penanggungnya.Sedangkan manusia telah merasakan sangat berat dan menderita. Maka adulah segala kegelisahan, kesulitan dan kesedihan yang tidak terzahir kepada Allah swt. Mohonlah dengan penuh tawaduk dan berharap kepada-Nya di samping berusaha mengubah keadaan, nescaya akan Dia perkenankan, kerana itulah janji-Nya menerusi Surah al-Mukminun, ayat ke 60: "Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu."