Sunday, June 29, 2008

Spekulasi Serangan & Kesan Kenaikan Harga Minyak

TEHERAN 28 Jun - Iran akan mengenakan kawalan ke atas laluan penting minyak di Teluk Parsi dan Selat Hormuz jika negara ini diserang kerana meneruskan program nuklearnya.Negara serantau juga akan mengalami tindakan balas jika mereka menyertai sebarang serangan ke atas Iran, lapor sebuah akhbar hari ini dengan memetik kenyataan Ketua Panglima Pengawal Revolusi. Kebimbangan maraknya konfrontasi antara Barat dengan Iran, pengeluar minyak keempat terbesar di dunia, berpunca daripada program nuklearnya adalah antara faktor yang menyebabkan harga minyak dunia melonjak. Minyak mentah mencecah paras tertinggi menghampiri AS$143 (RM463) setong di pasaran antarabangsa semalam.

Spekulasi mengenai serangan ke atas Iran bertambah hangat sejak timbul laporan bulan ini bahawa Israel menjalankan latihan untuk melancarkan serangan sedemikian. "Setiap negara yang diserang oleh musuh tentunya akan menggunakan segala keupayaan dan kesempatan untuk memerangi musuh itu," kata Ketua Panglima Pengawal Revolusi, Mohammad Ali Jafari kepada akhbar Jam-e Jam. Kenyataan beliau itu adalah antara yang paling keras dikeluarkan oleh Iran setakat ini. "Mengenai laluan utama untuk membawa keluar bekalan tenaga, Iran sudah tentu akan bertindak untuk mengawal Teluk Parsi dan Selat Hormuz," katanya.

Selat Hormuz ialah laluan sempit di antara Teluk Parsi dan Teluk Oman dan merupakan satu-satunya saluran keluar ke laut lepas bagi kira-kira 20 peratus daripada keseluruhan minyak yang didagangkan di pasaran dunia. Pegawai Iran sebelum ini memberi isyarat bercampur-campur sama ada Teheran akan menggunakan minyak sebagai senjata. Namun ugutan sedemikian meresahkan seluruh pasaran minyak mentah kerana kebimbangan akan terjejasnya bekalan daripada pengeluar utama Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) di Teluk. "Jika konfrontasi meletus antara kami dengan musuh di luar rantau ini, skop konfrontasi sudah pasti melibatkan minyak,'' katanya.
- Reuters

No comments: