Saturday, June 21, 2008

Antara 100 Hari Dan Janji Manifesto

oleh : pencuit minda
8 Mac yang lepas merupakan tarikh yang tidak dapat dilupakan oleh ramai daripada kita. Pilihanraya yang menyaksikan Pakatan Rakyat menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional buat kali pertama semenjak kemerdekaan membawa sejarah tersendiri. Buat satu Pakatan yang dikatakan masih rapuh, namun mempunyai banyak prinsip perjuangan yang dikongsi bersama, ianya cukup bermakna.

Walaupun tidak mengeluarkan manifesto bersama, samada di peringkat negeri dan nasional, Pakatan ini berjaya mencuit hati rakyat untuk berpihak kepada mereka. Bukan setakat kebencian yang bermain di fikiran untuk mereka berani membuat perubahan ini, bahkan harapan yang begitu besar disandarkan demi melihat kehidupan yang lebih baik, keadilan dan ketelusan yang menguntungkan lebih ramai penduduk.

Maka sudah tentunya rakyat yang begitu sekali membuka ruang untuk perubahan ini memberi seluas luas peluang untuk kerajaan baru Pakatan Rakyat melaksanakan program dan tindakan yang sewajarnya. Mereka amat menyedari betapa tekanan dan kekangan yang ada tidak memungkinkan segalanya lancar dan manis dirasai apabila pemimpin Pakatan Rakyat mengambilalih tampok pemerintahan dan perntadbiran. Bahkan sebaliknya. Dengan karenah yang pelbagai, dengan fail dan dokumen yang hilang entah ke mana, pastinya jalan yang sukar menanti.

Fenomena semasa juga tidak memberi kelebihan kepada pentadbiran kerajaan baru ini. Kenaikan harga minyak diikuti kesannya tentunya membawa lebih banyak kesukaran berbanding kesenangan. Pastinya ia mencabar kehebatan siapa sahaja hatta seorang pengurus yang terbukti hebat sebelumnya.

Sebenarnya tekanan untuk melaksanakan manifesto datangnya dari pemimpin dan penyokong totok UMNO yang tidak senang duduk dan masih tidak dapat menerima hakikat kekalahan mereka. Setiap inci kesalahan dicari, perangkap menanti dan lubang digali untuk menjerumuskan Pakatan Rakyat.

Oleh itu, biarkan mereka yang gila dan tamak kuasa itu dengan kegilaan mereka. Mereka akan tersedar bilamana kepala mereka tiba tiba terhantuk dan akhirnya sedar dari lamunan kuasa yang semakin meninggalkan mereka. Mungkin esok dan lusa bakal ditemui jawapannya! Allahu aa'lamu bi muradih..[pencuit minda]

No comments: